Menarik di Central

#MenarikDiKualaLumpur – Zoo Negara

Zoo Negara Malaysia telah diuruskan oleh Zoologi Malaysia iaitu satu badan bukan kerajaan yang  ditubuhkan bagi mewujudkan Zoo tempatan pertama untuk rakyat Malaysia. Zoo Negara Malaysia meliputi seluas 110 ekar tanah serta bertapak di Malaysia dan  dibuka secara rasmi pada 14 november 1963 dan telah terkenal sebagai kebun binatang di seluruh dunia. 

Selain daripada itu, Zoo Negara mempunyai 5446 spesimen, termasuk 476 spesies mamalia, burung, reptilia, amfibia, dan ikan. Tidak asing lagi di kalangan kita sebagai penduduk di Malaysia dan juga pelancong dari luar negara untuk melawat ke Zoo Negara dan pada masa yang sama, Zoo Negara boleh juga dijadikan sebagai tempat riadah. Di samping itu, selain beriadah kita juga boleh belajar dan mengajar anak-anak dalam meneroka dan mengenali kepelbagaian haiwan hidupan liar sama ada hidupan di laut mahupun di darat. 

Tambahan pula, pihak Zoologi Malaysia juga berusaha membuat penambahbaikan persekitaran di Zoo Negara dengan memastikan konsep kebun binatang lama diubah sepenuhnya bagi menarik tumpuan umum untuk hadir berkunjung ke zoo tersebut. Hal ini dapat diperlihatkan apabila selama bertahun-tahunnya, Zoo Negara yang merupakan kebun binatang telah berubah menjadi kebun binatang berkonsepkan terbuka dengan lebih daripada 90% haiwannya disimpan di pameran yang luas dengan pemandangan yang sesuai dengan sifatnya.

Bukan itu sahaja, pihak Zoologi Malaysia juga mempunyai visi untuk menjadikan Zoo Negara sebagai salah satu taman dan akuarium zoologi utama dunia yang dikhaskan untuk pemuliharaan, rekreasi, pendidikan, latihan serta penyelidikan pelbagai spesies haiwan dan tumbuhan. Maka, Zoologi Malaysia membuat perancangan untuk menyediakan habitat yang luar biasa dan dinamis untuk haiwan dan kehidupan tumbuhan serta menggabungkan penjagaan kesihatan dan penternakan haiwan yang berkualiti tinggi. Hal ini dapat direalisasikan dengan misi untuk berkolaborasi dan menyebarkan pengetahuan saintifik ke kebun binatang tempatan, serantau dan di seluruh dunia melalui pendekatan berasaskan sains pengurusan hidupan liar.

Alamat : Zoo Negara, Hulu Kelang, 68000 Ampang, Selangor.

Waktu Operasi : Setiap Hari (9.00 Pagi – 5.00 Petang)

Telefon : +603-4108 3422/7/8

Website: https://www.zoonegaramalaysia.my

Email: https://ticketing@zoonegaramalaysia.my

Instagram: https://www.instagram.com/zoonegara_malaysia

Facebook Page: https://www.facebook.com/znegaramalaysia

Exit mobile version